Keradangan (Inflammation)

KERADANGAN (INFLAMMATION)

Keradangan ialah suatu keadaan fizikal di mana sebahagian daripada anggota badan menjadi merah, membengkak, panas , sakit dan kehilangan fungsi yang pada kebiasaannya diakibatkan oleh kecederaan atau jangkitan (infection)

Keradangan adalah merupakan usaha badan untuk mempertahankan dirinya; tujuan adalah untuk menghapuskan perkara yang memudaratkan seperti sel-sel yang rosak, perkara-perkara luar yang merosakkan atau jangkitan dari luar dan memulakan proses penyembuhan.

Apabila sesuatu yang memudaratkan telah memberi kesan kepada badan, terdapat respons biologi yang akan cuba menghapuskan perkara yang memudaratkan itu dan inilah proses keradangan khasnya keradangan akut (acute inflammation) di mana badan cuba untuk membuat penyembuhan dengan segera.

Keradangan tidak semestinya bermakna terdapatnya jangkitan. Jangkitan adalah disebabkan oleh kuman (bakteria), virus dan kulat (fungus) manakala keradangan ialah respons badan terhadapnya.

Keradangan terbahagi kepada:

(i) Keradangan Akut (Acute Inflammation)

Respons yang segera diikuti dengan penyembuhan. Dalam keadaan normal, ianya membantu badan untuk membuat penyembuhan dengan sendiri (contoh: kecederaan otot semasa bersukan). Biasanya ia semakin berkurang dari hari ke hari.

(ii) Keradangan Kronik

Tahap keradangan yang rendah tanpa penyembuhan. Tidak hilang dalam tempoh yang sekejap. Boleh menjurus kepada kesan yang lebih buruk (contoh: kekejangan yang kekal pada sendi, bengkak dan sakit yang berpanjangan). Ini adalah perkara yang berlaku dalam penyakit-penyakit seperti sakit jantung, obesiti, diabetes, Alzheimer’s dll.

Posted in Company Information.