frustration1

Keinginan Seks Yang Berkurangan

Anda seorang lelaki dan anda dapati sejak kebelakangan ini keinginan seks anda semakin berkurangan. Kemungkinan yang paling besar ialah ianya berpunca dari tahap testosterone yang rendah di dalam darah anda. Ini tidak semestinya menandakan suatu keadaan yang normal. Penambahan umur anda tidak semestinya disertakan dengan penurunan tahap testosterone yang mendadak sedemikian.  95% daripada testosterone yang terdapat pada seseorang lelaki dihasilkan oleh testis manakala bakinya adalah dari kelenjar adrenal. Terdapat pelbagai punca penurunan testosterone di dalam badan seorang lelaki.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi penurunan tahap testosterone seseorang. Antaranya adalah pemakanan dan senaman. Isu mengenai pemakanan akan disentuh di dalam posting yang lain. Pada posting ini saya ingin menyentuh mengenai senaman. Sebahagian besar akan menyangka bahawa peningkatan senaman akan meningkatkan tahap testosterone anda. Keadaan sebenar adalah tidak sebegitu. Senaman yang dilakukan dengan silap boleh menurunkan tahap testosterone di dalam badan.

Senaman yang melampau dan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan dua perkara berlaku di dalam badan anda:

  1. Pembakaran lemak (dan mungkin juga protein) apabila senaman dilakukan dengan intensiti yang terlalu kuat dan dalam tempoh yang lama. Ini akan membakar lemak yang ada di dalam badan anda dan menghantar signal kepada badan untuk melakukan proses menggantikan lemak yang dibakar itu nanti ketika anda rehat. Senaman yang sebegini tidak akan mengurangkan berat badan malah boleh meningkatkan berat badan anda. Senaman yang terbaik ialah senaman yang berbentuk High Intensity Interval Training (HIIT). Di dalam keadaan ini akan berlaku pembakaran glikogen semasa anda bersenam. Semasa waktu rehat, badan akan membakar lemak untuk menggantikan glikogen yang telah digunakan semasa anda bersenam itu. Kajian menunjukkan bahawa peningkatan lemak di dalam badan akan disertakan dengan penurunan tahap testosterone. Di waktu yang sama tahap estrogen (hormon perempuan) akan juga meningkat. Ini adalah merupakan suatu malapetaka untuk penghidupan seks anda.
  2. Senaman yang terlalu kuat dan berpanjangan juga meletakkan keadaan stress pada diri anda. Ini akan meningkatkan hormon Cortisol dan peningkatan hormon ini disertakan dengan penurunan testosterone.

Di dalam suatu kajian daripada University of British Columbia, pelari yang berupaya berlari 40 batu dalam seminggu didapati memiliki tahap testosterone yang rendah dengan ketara berbanding dengan seseorang yang berlari pada jarak yang pendek dan tempoh yang sekejap.(1)

Oleh itu, saya cadangkan anda untuk melakukan senaman di dalam bentuk HIIT dan bukannya membuat senaman yang berpanjangan dan tahan lasak secara berterusan. Kajian ada menunjukkan bahawa senaman berintensiti tinggi dalam tempoh yang sekejap dapat menaikkan tahap testosterone di dalam darah dengan cepat iaitu  hanya dalam tempoh lima minit.(2) Satu kajian daripada U.S Army mendapati tahap testosterone meningkat dengan ketara dalam masa 6 minggu hanya dengan membuat aktiviti bangun dan duduk diselangi oleh masa rehat selama dua minit (brief sets of squat exercises separated with two minute rest periods)(3)

Aktiviti duduk dan bangun (Squats) adalah merupakan suatu senaman yang sangat baik. Sebagai cara permulaan anda boleh lakukan sedemikian ini:

  • Berdiri dengan renggangkan kaki anda
  • Luruskan tangan anda ke depan secara paralel dengan lantai dengan tapak tangan menghadap ke bawah
  • Tarik nafas dan tarik tangan anda terus ke belakang. Semasa anda menarik tangan anda pusingkan tapak tangan anda ke atas dan genggam tangan anda.
  • Pada akhir penarikan nafas anda itu, siku anda telah berada di belakang anda dengan kedua tangan anda dalam keadaan tergenggam dan menghadap ke atas.
  • Dari posisi ini lepaskan nafas anda, bengkokkan lutut anda dan terus bertinggung (squat)
  • Biarkan tangan anda jatuh ke sisi dan sentuhi lantai di sebelah anda
  • Teruskan membuang nafas dan biarkan tangan anda bergerak bebas semasa anda berdiri kembali
  • Ini mengembalikan anda ke posisi asal. Berdiri dengan tegak, luruskan tangan anda ke depan secara paralel dengan lantai dengan tapak tangan menghadap ke bawah
  • Ulangi keadaan ini dengan kadar satu “squat” setiap empat saat. Apabila anda telah biasa dengannya anda boleh naikkan kelajuannya kepada satu squat untuk setiap saat.

 

Anda boleh menguji tahap hormon di dalam badan anda khasnya testosterone, estrogen, progesteron, cortisol dan sebagainya melalui pengambilan air liur sewaktu pagi. Ujian ini boleh dijalankan di Wellness & Occupational Health Center, Medi-Ihsan Occupational Safety and Health di Bukit Payung dan Paka, Terengganu. Anda perlu membuat temujanji terlebih dahulu untuk ujian ini.

(1) MacKelvie K, Taunton J, McKay H, Khan K. “Bone mineral density and serum testosterone in chronically trained, high mileage 40–55 year old male runners.” British Journal of Sports Medicine. 2000;34(4):273-278.
(2) Smith A, Toone R, Peacock O, Drawer S, Stokes K, Cook C. “Dihydrotestosterone is elevated following sprint exercise in healthy young men.” J Appl Physiol 2013;114(10):1435-40.
(3) Nindl BC et al. “Testosterone responses after resistance exercise in women: influence of regional fat distribution.” Int J Sport Nutr Exerc Metab. 2001;11(4):451-65.

Posted in Health Information.