Lemak Dalaman (Visceral Fat)

obese-measureTerdapat sejenis lemak di dalam badan kita yang tidak boleh dilihat dan dipegang. Ianya tersembunyi di dalam ruang dada dan abdomen kita. Lemak ini melingkungi organ-organ dalaman seperti jantung, hati (liver), usus, buah pinggang dan sebagainya. Ia memenuhi segala ruang yang terdapat di dalam abdomen sehingga menyebabkan organ-organ yang terdapat di dalamnya tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Lemak Dalaman (Visceral Fat) adalah jauh lebih merbahaya dari lemak yang terdapat di bawah lapisan kulit badan (Subcutaneous Fat). Lemak subcutaneous ini adalah lemak yang kita boleh picit dan pegang yang terletak di bawah lapisan kulit.

Lemak visceral adalah merupakan stor tempat penyimpanan racun yang akan dipam ke dalam badan sepanjang masa. Apabila seseorang memiliki jumlah lemak visceral yang terlalu banyak, maka risiko baginya untuk menghidapai sakit jantung, diabetes dan kanser adalah terlalu tinggi. Dari lemak ini juga akan terhasil adipokine iaitu suatu bahan yang boleh menyebabkan keradangan pada keseluruhan badan yang akan menjurus kepada pelbagai penyakit.(1)

visceral-fatKita tidak perlu menjadi gemuk untuk memiliki lemak visceral. Dijangkakan sekitar 30 juta rakyat Amerika memiliki kadar lemak visceral yang tinggi. Seseorang mungkin nampak tidak gemuk dari luar tetapi masih boleh mempunyai lemak visceral yang tinggi.

Kehadiran lemak visceral ini adalah merupakan sesuatu yang merbahaya. Ini ialah kerana ianya bukan berada di situ dalam keadaan berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa aktiviti. Lemak visceral ini memberikan banyak kesan dan pengaruh kepada metabolisma badan. Ia bertindak seperti kelenjar endokrin di dalam badan kerana ia mengeluarkan pelbagai bahan kimia yang mempengaruhi secara signifikan aktiviti dan proses-proses di dalam badan.

Lemak di dalam badan khasnya lemak visceral merupakan sumber penting penghasilan bahan kimia yang meransang berlakunya keradangan di dalam badan (pro-inflammatory cytokines) yang dipanggil sebagai adipocytokines atau adipokines.

Antara adipokines yang dihasilkan oleh lemak visceral ialah seperti berikut:

  • IL-6 (Interleukin-6) (33% daripada IL-6 di dalam darah boleh disebabkan oleh penghasilan oleh sel lemak)
  • TNFα (Tumour Necrotizing Factor Alpha)
  • Leptin
  • Plasminogen activator inhibitor-1 (PAI-1)
  • Angiotensinogen

Adipokines di dapati membawa badan menuju kepada semua aspek sindrom metabolik (Metabolic syndrome). (2)

TISU LEMAK, KERADANGAN DAN PENYAKIT

adipose-inflammation

(Imej di ambil dari Fitgenes Australia)

Di dalam gambarajah di atas, kita dapat lihat betapa dasyatnya  gangguan kepada kesihatan badan yang boleh dilakukan oleh sel-sel lemak khasnya yang terdapat di kawasan visceral (lemak visceral). Ianya menyumbang kepada keradangan di dalam badan (inflammation), darah tinggi (hypertension), masalah lemak yang boleh mengganggu saluran darah (atherogenic dyslipidemia), kencing manis (diabetes type 2), penyumbatan saluran darah dan sebagainya.

Kehadiran lemak visceral dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap penyakit-penyakit berikut:

  • Sakit jantung koronari
  • Kanser
  • Stroke
  • Nyanyuk (Dementia)
  • Diabetes
  • Kemurungan (Depression)
  • Sakit sendi (Arthritis)
  • Obesiti
  • Gangguan fungsi seks (Sexual dysfunction)
  • Gangguan tidor (Sleep disorders)

Bagaimanakah ini boleh berlaku? Kenapakah lemak visceral terbentuk di dalam badan?

Punca utama kepada permasalahan ini ialah pemakanan yang silap. Manusia pada ketika ini tidak lagi makan sebagaimana manusia terdahulu. Banyak makanan yang di makan pada ketika ini adalah makanan yang telah diproses secara industri dan tidak wujud beberapa puloh tahun yang dahulu.

Punca utama permasalahan ini ialah:

  1. Pengambilan gula yang tinggi
  2. Pengambilan HFCS (High Fructose Corn Syrup)
  3. Pengambilan karbohidrat yang tinggi dan berulang-ulang

1)  Pengambilan gula yang tinggi

Gula putih yang digunakan secara berleluasa pada ketika ini (dipanggil sebagai sucrose) mengandungi molekul glukos (50%) dan fruktos (50%) yang berada dalam keadaan terikat di antara satu sama lain. Apabila dihadam di dalam usus, kedua-dua glukos dan fruktos ini akan diserap ke dalam saluran darah.

80% daripada glukos dihantar ke otot-otot dan tisu-tisu badan yang lain untuk digunakan sebagai tenaga manakala bakinya 20% dihantar ke hati (liver). Di dalam hati, glukos boleh melalui proses yang akan mengeluarkan tenaga yang banyak atau disimpan sebagai glikogen. Sekiranya penyimpanan sebagai glikogen sudah mencukupi, maka glukos ini akan memasuki proses untuk menghasilkan lemak.

Ini adalah berbeza dengan fruktos. Fruktos tidak digunakan oleh badan sebagai bahan untuk menghasilkan tenaga. 100% fruktos akan dihantar ke hati (liver). Di dalam hati fruktos akan ditukarkan kepada lemak. Proses ini menggunakan tenaga yang banyak (di dalam bentuk ATP) dan menghasilkan banyak ADP. Metabolisma ADP seterusnya akan menghasilkan banyak asid urik di dalam darah. Asid urik bukan sahaja boleh menyebabkan penyakit gout malah mengganggu banyak proses lain di dalam badan seperti meningkatkan keradangan, menyebabkan ketidakpekaan insulin (insulin resistance) yang seterusnya menyebabkan kencing manis (Diabetes Type 2), menggangu penghasilan nitric oxide yang seterusnya menyebabkan darah tinggi dan pelbagai lagi. Pengambilan fruktos juga tidak meransang hormon yang akan menimbulkan rasa kenyang bagi seseorang. Dengan ini seseorang yang mengambil fruktos akan mudah untuk menambahkan pengambilan makanan-makanan yang lain.

Pengambilan fruktos di dalam gula putih adalah penyumbang utama kegemukan dan penghimpunan lemak di dalam badan khasnya lemak visceral.

2) Pengambilan HFCS (High Fructose Corn Syrup)

Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa setiap hari kita berkemungkinan mengambil bahan ini dengan kuantiti yang banyak. Ini adalah merupakan suatu bahan yang terhasil melalui kajian untuk mendapatkan bahan pemanis yang murah di samping untuk memajukan industri jagung di Amerika. HFCS yang dihasilkan ini lebih manis dari gula dan lebih murah dari gula. Lantaran itu ia amat digemari oleh pengusaha makanan untuk digunakan di dalam makanan mereka. Untuk anda mengetahui apakah makanan yang mengandungi HFCS, anda cuma perlu mencari di dalam google dengan  menaip HCFS. Di bawah ini saya sertakan beberapa gambar hasil pencarian saya di dalam google:

hfcs-1 hfcs-2

HCFS juga terdiri dari glukos dan fruktos. Cuma dalam keadaan ini mereka tidak terikat di antara satu sama lain dan kandungan fruktos adalah lebih tinggi dari glukos (Contoh 55%:45%)

Pengambilan makanan yang dibuat dari HFCS ini meningkatkan pengambilan fruktos dan ini seterusnya meningkatkan pembinaan lemak di dalam badan khasnya lemak visceral

3) Pengambilan karbohidrat yang tinggi dan berulang-ulang

Ketakutan kepada lemak menyebabkan manusia lebih selesa memakan karbohidrat dengan kuantiti yang banyak berbanding dengan lemak. Walhal badan sangat memerlukan lemak bagi membolehkan ianya dapat berfungsi dengan cemerlang. Masalah ini ditambah pula oleh pendidikan yang meletakkan karbohidrat di tahap yang paling bawah di dalam piramid makanan (iaitu makanan yang paling banyak di makan). Karbohidrat yang dimakan akan dihadam di dalam mulut dan usus untuk menghasilkan monosakarid seperti glukos. Glukos ini seterusnya akan diserap ke dalam saluran darah di usus. Kehadiran glukos di dalam darah meransang hormon insulin dikeluarkan daripada pankreas. Insulin akan meransang sel hati dan sel-sel lain untuk mengambil glukos ke dalamnya. Glukos yang dimasukkan ke dalam sel digunakan untuk tenaga, di simpan sebagai glikogen atau ditukarkan menjadi lemak. Pengambilan karbohidrat 6-7 kali sehari (sebagaimana dinasihatkan di dalam piramid makanan) akan menyebabkan tahap insulin berterusan tinggi di dalam darah. Ini akan menambahkan lagi penghasilan lemak di dalam badan khasnya lemak visceral.

Penerangan mengenai perkara ini diberikan dengan  lebih terperinci di dalam Seminar Kecemrlangan Kesihatan (Medi-Ihsan Wellness Seminar) yang diadakan. Keadaan ini perlu difahami dengan jelas untuk membolehkan proses pemulihan dan penghapusan lemak visceral dapat dilakukan. Cara pemulihan masalah lemak visceral ini juga diterangkan di dalam seminar berkenaan. Untuk mendapat maklumat mengenai seminar berkenaan sila klik di sini.   

drliwauddin-200

(1) Fontana L., et al. “Visceral fat adipokine secretion is associated with systemic inflammation in obese humans.” Diabetes. 2007 Apr;56(4):1010-3.
(2) Christoper J. Lyon, Ronald E. Law, Willa A. Hsueh. Mini review: Adiposity, inflammation and Atherogenesis. Endocrinology 2003; 144: 2195-2200